Sunday 11 March 2012

PENYELESAIAN KEPADA MASALAH UMMAH

Assalamualaikum..

      Alhamdulillah, sekali lagi, saya diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan saya dalam mengembangkan dan menegakkan syariat Allah S.W.T yang telah menjadi tanggungjawab setiap muslim dan muslimat di muka bumi ini. Hari ini, terdetik di hati saya untuk membincangkan mengenai ummah pada hari ini.

      Kita lihat, pada hari ini, umat Islam sedang membangun, terutama di negara-negara di bahagian Timur Tengah. Walau bagaimanapun, itu baru sedikit, jika dibandingkan dengan nisbau umat Islam yang masih terus lalai dan alpa dengan nikmat dunia sedangkan kiamat semakin hampir. Adakah kita semua telah bersedia??
Apakah sumbangan kita dalam menegakkan syariat Islam?? Sedarlah, sebenarnya kita masih jauh dalam menyumbang apa-apa dalam menegakkan agama Islam berbanding saudara kita yang berpeluang untuk SYAHID di sana.. Kadang kala, saya amat mencemburui mereka kerana berpeluang untuk syahid.. Kerana syahit itu dijanjikan SYURGA oleh Allah S.W.T.

     Wahai sahabat sekalian, wahat pemuda sekalian!!!! Bangkitlah!!! Sedarlah!!! Bangun daripada mimpi yang melalaikan kita. Marilah kita kembalikan zaman kegemilangan Islam seperti gemilangnya Islam pada masa dahulu. Jika ini mahu direalisasikan, terdapat beberapa kriteria yang mudah untuk kita penuhi.

Antaranya ialah:-

SOLAT SUBUH BERJEMAAH
   Saya yakin pra syarat ini paling sukar untuk dilaksanakan pada zaman ini. Jika dilihat pada hari ini di semua masjid atau surau, kebanyakan yang menunaikan solat subuh secara berjemaah hanyalah golongan 'Elite', jika dibandingkan dengan golongan muda yang pada ketika itu, saya yakin masih terus tidur ataupun hanya menunaikan solat subuh di rumah sahaja. Ingatlah sahabat sekalian, bahawa orang yang paling kuat ialah orang yang mampu menahan marahnya dan orang yang mampu untuk mengangkat kain selimutnya untuk menunaikan solat subuh berjemaah di masjid. Dikukuhkan lagi dengan kenyataan dalam sebuah kitab Yahudi, yang menyatakan, bahawa "umat Islam akan kembali bangkit sekiranya bilangan mereka yang menunaikan solat subuh di masjid menyamai dengan jumlah mereka yang menunaikan solat Jumaat". Maka, terbuktilah bahawa solat subuh itu merupakan ciri-ciri penting untuk membentuk umat Islam yang tinggi jati diri.

KEMBALI KEPADA AL-QURAN
     Pada 1400 tahun yang lalu Allah s.w.t. telah menurunkan kepada Al-Mustofa Nabi Muhammad b. Abdullah s.a.w. mukjizat yang terbesar iaitu Al-quran Al-karim. Ianya adalah di antara mukjizat - mukjizat besar yang berlaku pada zaman itu. Al-quran digambarkan oleh ahli ilmu di dalam bahasa arabnya, 
"القرءان كالبحر ليس فيه شاطئ "
Maksudnya, Al-quran itu seperti laut dan tiada padanya pantai(pertepian)
" القرءان هو ايجاز الكلام تقليل لفظه مع تكثير معناه "
Maksudnya, Al-quran itu mempunyai kata-kata yang ringkas tetapi mempunyai makna yang sangat luas.

Takrif Al-quran yang telah disepakati oleh ulama islam ialah " Kalam Allah yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril a.s secara berperingkat dari langit dunia, dipindahkan kepada generasi ke generasi secara mutawatir(Bilangan yang mustahil sepakat untuk membuat penipuan), membacanya adalah ibadah, dimulai dengan surah Al-fatihah dan diakhiri dengan surah An-nas.


Berdasarkan I/C (Kad Pengenalan) Al-quran di atas. Cuba kita bayangkan, kita hanya bekerja ringan tetapi kita diberi bonus kerja dengan begitu banyak. Hanya perlu membuka Al-quran, membaca dan mentadabburinya dengan ikhlas, kita sudah mendapat banyak butiran pahala, kebahagiaan, ketenangan, menyelesaikan banyak masalah kehidupan, dan lainnya. Begitulah kasihnya Allah s.w.t. kepada hambaNya, tetapi kita masih lagi alpa dan leka dek berbekasnya dunia pada hati.


Al-quran diberi lebih daripada 10 nama dan kesemua nama-nama tersebut memenuhi ciri-ciri dan kriteria al-quran itu sendiri, maka ketahuilah bahawa Al-quran itu adalah satu kitab suci yang sangat agung bukan? Tetapi masih ramai manusia yang kononnya mengaku beriman kepada Allah s.w.t. tetapi masih jauh dengannya, tidak mentadabburinya malah jauh untuk membaca dan mengamalkan isi kandungannya, tidak mengambilnya sebagai role model kehidupan, dan bermacam-macam lagi rahsia yang terkandung di dalamnya tetapi manusia tidak mahu mengambil ibrahnya(Pengajaran) . Sungguh amat beruntung bagi mereka yang mahu memanfaatkannya dalam kehidupan.


Antara nama yang terkenal selain daripada Al-quran ialah seperti Al-haq ( kebenaran ), An-nur(cahaya), Al-kitab, Al-furqan(Pembeda), Ar-rahmah(Rahmat), Asy-syifa' (Penawar), Al-bayan (Keterangan), Al-mau'izah ( Pengajaran ), Az-zikru ( Pemberi Peringatan), Al-busyraa ( Berita Gembira), Ar-ruh (Roh), Al-huda ( Petunjuk ), dan pelbagai lagi nama yang ada pada Al-quran jika kita himpunkan. Kesemua nama-nama ini telah pun Allah s.w.t. sisipkan setiap satu namanya di dalam Al-quran. Jika kita melihat dan meneliti keterangan maksud nama-nama al-quran dengan jelas dan yakin, pasti kita tidak teragak-agak untuk menjadikannya sebagai peneman hidup kita seharian.


Inilah keistimewaan yang ada di dalam al-quran, sebagai contoh nama yang saya boleh nukilkan ialah Al-Haq yang membawa maksud kebenaran, Allah swt menurunkan Al-quran kepada manusia daripada awal ayat sehingga ayat terakhir adalah kebenaran, kesemua ayat ini menyampaikan kebenaran yang manusia tidak mampu untuk menolaknya, malah jauh sekali untuk membawa contoh yang sama sepertinya, firman Allah swt yang bermaksud,
" Dan jika kamu meragukan Al-quran yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad), maka buatlah satu surah semisal dengannya dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang yang benar " Al-Baqoroh ayat 23.
Kemukjizatan Al-quran membawa satu sistem yang sangat bertamadun jika kita mengenali dan mempelajarinya dengan baik, kebenaran yang ada di dalam al-quran telah membawa umat manusia ke suatu demensi yang amat luas lagi terurus dan disegani, perkara ini telah pun dibuktikan oleh tokoh-tokoh islam yang terdahulu. Contoh nama kedua ialah An-nur (cahaya), firman Allah swt yang bermaksud,  
" Dengan kitab itulah Allah memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang itu dari kegelapan kepada cahaya dengan izinNya dan menunjukkan ke jalan yang lurus. " Al-Maidah ayat 17.

Membawa satu keterangan bahawa panduan yang Allah telah gariskan di dalam Al-Quran adalah menjadi cahaya dalam kehidupan, seperti mengeluarkan manusia daripada taghut kepada cahaya kebenaran, daripada kesesatan dan kejahilan kepada cahaya ilmu, daripada perhambaan sesama manusia kepada mengabdikan diri semata-mata kepada Yang Maha Mencipta dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan cahaya dunia dan akhirat. Apabila manusia tahu tentang pengertian dan penjelasan yang ada di dalam al-quran, pasti mereka tidak akan mensia-siakannya.

Kita perlu sedari bahawa Al-quran bukanlah sesuatu yang kita boleh jadikan alat sebagai perhiasan di dinding-dinding rumah dan juga di sektor perniagaan, menyimpan rapi di dalam almari, membaca ketika ada orang nazak atau meninggal dunia, ketika ingin berkahwin, ketika majlis-majlis keagamaan dan sebagainya.


Ini adalah satu kefahaman yang amat menyimpang dan menyeleweng terhadap kitab suci Al-quran. Kita perlu sedari bahawa Al-quran bukanlah diturunkan kepada manusia untuk itu, malah ia amat luas merangkumi kehidupan manusia seharian. Jika kita melihat umat islam pada hari ini, seolah-olah mereka telah hilang sensitivitinya terhadap Al-quran. Setuju tidak kalau saya katakan bahwa kemunduran umat islam hari ini disebabkan mereka meninggalkan Al-quran.  


Amat malang sekali pada hari ini ada juga segelintir umat islam menganggap bahawa kitab Al-quran adalah kitab lama yang ditradisikan. Ini adalah satu fenomena yang jika kita tidak mengubahnya dengan cepat, maka ia akan menjadi satu kitab yang tidak lagi berfungsi untuk kehidupan umat manusia amnya. Kita cuba luaskan sekejap skop pemikiran dan cuba bayangkan jika hukum Al-quran diamalkan. Contohnya, kita semua masih ingat lagi tentang pembunuhan kejam yang berlaku pada adik Nurin yang lepas, kalaulah hukum islam dijalankan terhadap hukum bunuh balas, maka orang akan takut untuk membunuh. Kita bayangkan lagi, adakah kita terlepas daripada hukum Allah swt ini jika kita masih lagi menyokong pada pemimpin yang menganggap hukum islam adalah hukum yang kolot, lebih mempercayakan hukum manusia daripada hukum Allah swt, firman Allah swt yang bermaksud,
" Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-quran tentang sah batalnya), maka kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan. " Hud ayat 15 dan 16.




Oleh itu, Al-quran adalah merupakan kitab yang sangat penting dalam kehidupan manusia secara menyeluruh. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mengikut disiplin Al-quran. Ketua rumah tangga yang baik adalah yang mengikut disiplin al-quran. Pekerja yang baik adalah pekerja yang mengikut disiplin Al-quran. Pelajar yang baik adalah pelajar yang mengikut disiplin Al-quran. Apabila setiap lapisan umat islam sudah menjadi ahli Al-quran, maka pertolongan dan kemenangan dari Allah swt akan tercapai dari setiap sudut hakikat kehidupan dengan cepat dan mudah seperti sabda Nabi saw yang bermaksud,
Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w. bersabda, " Sesungguhnya Allah mempunyai 'ahli' daripada kalangan manusia. Para sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? " Baginda bersabda : " Merekalah ahli Al-quran iaitu 'ahli' Allah dan golongan pilihannya. " Riwayat Ibnu Majah.
Keterangan : Ahli Al-quran : Golongan yang menghafal Al-quran, banyak membaca Al-quran dan beramal dengannya. Mereka sentiasa mendapat kejayaan dan pertolongan daripada Allah. ( syarah sunan Ibnu Majah ).


    Mengapa saya amat menekankan mengenai Al-Quran?? Kerana pada hari ini, ramai umat Islam hanya Islam pada nama dan IC, tetapi jauh daripada Al-Quran. Mengapa?? Kerana pada hari ini umat Islam, terutamanya golongan BELIA, terlalu asyik dengan hiburan sehingga mereka semakin 'BUTA Al-Quran'. Sedangkan, Al-Quran lah sumber rujukan utama dan Al-Quran juga lah terdapat sumber panduan. Jadi, pada hari ini, saya ingin berpesan kepada sahabat sekalian dan diri saya sendiri, 'JOM KENAL Al-Quran'.. Tidak susah pun, cuba amalkan baca Al-Quran sebanyak 10 ayat sehari, dengan syarat, ISTIQAMAH.. InsyaAllah, Allah akan memberi panduan kepada hambaNya yang dekat kepadaNya.


   Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar..
   Sama-sama kita perbaiki diri..
   Agar menjadi hambaNya yang bertaqwa dan berkualiti..



   ...syabab...


No comments:

Post a Comment